top of page
  • Writer's pictureAhmad Termizi Abdullah

WARIS PATAH TITI

Waris patah titi merujuk kepada cucu yang kematian bapa/ibu terlebih dahulu sebelum kematian datuk/nenek mereka. Mereka akan terhalang daripada menerima harta pusaka datuk/nenek mereka kerana kewujudan bapa/ibu saudara mereka yang menjadi waris yang menghabiskan baki ('asabah) kepada harta pusaka peninggalan datuk/nenek. Waris patah titi berlaku dalam contoh keadaan sebegini.


Adam meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak lelaki bernama Idris dan seorang ayah bernama Saleh. Tidak ada apa-apa harta pusaka ditinggalkan oleh Adam kepada anaknya Idris yang masih kecil itu. Idris kemudiannya dijaga oleh datuknya, iaitu Saleh.


Selepas itu, Saleh pula meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak lelaki bernama Ibrahim iaitu adik kepada Adam (bapa Idris yang telah meninggal lebih awal tadi). Mengikut hukum faraid, harta pusaka Saleh jatuh kepada Ibrahim. Sementara Idris pula tidak mewarisi harta datuknya Saleh kerana terdinding dengan sebab adanya waris yang lebih dekat yang menjadi 'asabah, iaitu Ibrahim. Jadi, kedudukan Idris di sini dikenali oleh orang melayu dulu-dulu sebagai 'waris patah titi'.


Ustaz Md. Yazid Ahmad memberi contoh sebagaimana berikut:


Abu meninggal dunia dahulu daripada bapanya Ali dalam satu kemalangan dan meninggalkan seorang isteri, Salmah dan meninggalkan seorang isteri, Salmah dan dua orang anak iaitu Kasim dan Siti. Di sini, Kasim dan Sitimerupakan waris wasiyyah wajibah ataupun dikenali sebagai “waris patah titi” kerana mereka akan terdinding daripada mendapat harta pusaka datuknya (Ali) disebabkan adanya bapa saudara mereka iaitu Husin.

Memanglah disebabkan nasib waris patah titi yang sebegini, ada sesetengah orang menganggap bahawa undang-undang pewarisan Islam adalah undang-undang yang tidak adil.


Tetapi, jangan menuduh terlalu cepat. Jika dilihat pada beberapa enakmen di negara kita, nasib waris patah titi ini memang dijaga/terbela. Peruntukan tentang hak waris patah titi ini dikenali dengan istilah 'wasiyyah wajibah'.


Wasiyyah wajibah merujuk kepada konsep wasiat yang seolah-olah wujud daripada datuk/nenek kepada cucunya sebelum datuk/nenek itu meninggal dunia.


Wasiat pada asalnya bukanlah wajib. Tetapi bagi menjaga maslahat/kepentingan waris patah titi, wasiat ini seakan-akan wajib ada yang diwajibkan adanya oleh pemerintah melalui penguatkuasaan undang-undang.


Konsep wasiyyah wajibah ini juga sebenarnya tidak asing di negara-negara Islam yang lain. Konsep wasiyyah wajibah ini lahir berdasarkan siyasah syar'iah dalam sesebuah negara Islam bagi menjaga maslahat umat Islam di negara/negeri terbabit.


Walau bagaimanapun, kadar wasiyyah wajibah ini hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada keseluruhan harta si mati. Syarat-syarat lain tentang wasiyyah wajibah ada dinyatakan dalam peruntukan undang-undang secara jelas.


Apa yang menjadi sedikit permasalahan dari segi praktisnya ialah; adakah ahli waris yang lain bersedia untuk mengisytiharkan kepada mahkamah atau unit pembahagian pusaka kecil tentang kewujudan waris patah titi ini memandangkan hal ini akan mengurangkan jumlah harta pewarisan yang akan mereka terima. Di sinilah pentingnya peranan peguam supaya dapat menyiasat waris seadil mungkin dan menasihatkan ahli waris supaya memasukkan waris patah titi dalam senarai waris-waris dan memberikan hak waris patah titi terlebih dahulu berdasarkan peruntukan wasiyyah wajibah dan selepas itu barulah baki harta pusaka dibahagikan kepada ahli waris yang lain.


Jika waris tidak diwakili peguam, adalah menjadi tanggungjawab hakim/pegawai unit pusaka bagi menyiasat hal ini semasa sesi perbicaraan. Semoga nasib waris patah titi terbela.

16 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page